BEARISH?
Lantunan teknikal dijangka berlaku
Oleh Kaladher Govindan
PASARAN saham tempatan kembali jatuh minggu lalu, dengan saham perbankan utama Public Bank susut 80 sen, BCHB menjunam 85 sen dan Maybank jatuh 56 sen, mendahului kejatuhan untuk menyumbang hampir separuh kerugian dalam Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI).
Kejatuhan dikaitkan dengan kesan limpahan kerugian besar-besar di peringkat global, dicetus oleh amaran pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bahawa sistem perbankan belum lagi stabil dan lebih banyak dana jaminan diperlukan bagi industri perbankan AS.
KLCI susut 32.45 mata atau 3.6 peratus minggu lalu untuk ditutup pada 858.22, dengan dagangan purata harian sebanyak 357.5 juta saham bernilai RM599.7 juta, berbanding 343.7 juta saham bernilai RM578.3 juta minggu sebelumnya.
Pendapatan korporat mengecewakan dan ekonomi yang semakin lemah meningkatkan risiko pelaburan serta menaikkan tahap waspada di kalangan pelabur sementara selera rendah bagi pengambil risiko.
Selepas mendalami fakta yang pendapatan korporat utama jatuh lima peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya dan kejatuhan lebih besar 30 peratus jika dibanding secara tahunan, pasaran tempatan menyelaras berita peruntukan pelan rangsangan RM10 bilion, yang lebih kecil berbanding jangkaan. Ramai berharap jumlahnya ditambah sebelum pengumuman rasmi dibuat nanti.
Namun, ada kebimbangan terhadap angka dagangan bagi Januari. Eksport Januari susut 27.8 peratus, manakala import jatuh 32 peratus, menjadikan kemungkinan untuk mencatat lebihan mencukupi RM8.8 bilion untuk 135 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Kejatuhan eksport produk elektrikal dan elektronik adalah ketara. Aliran ini dijangka berterusan selama enam bulan. Pertumbuhan ekonomi menjadi agenda utama, termasuk risiko penurunan penarafan kredit berdaulat sebagai potensi risiko deflasi lebih nyata.
Penarafan kedaulatan akan tetap terjejas sekiranya ekonomi terus lembap dan pendapatan korporat jatuh berikutan kerajaan tidak mampu menjana pendapatan cukai langsung dan tidak langsung untuk menampung perbelanjaan.
Sehubungan itu, kerajaan tiada pilihan dan terpaksa menjadikan pertumbuhan ekonomi sebagai agenda utama. Masih terdapat kecairan mencukupi dalam sistem yang boleh dijana menerusi bon kerajaan atau inisiatif kewangan swasta (PFIs).
Dengan berterusan aliran data ekonomi lemah dari AS dan negara utama lain, ruangan ini memberi amaran akan kemungkinan pasaran bearis untuk baki hari suku ini dan memberi cadangan ‘jual’.
Bagaimanapun, bagi senario terburuk, kejatuhan indeks berkemungkinan mencecah 540 sekiranya mengguna pakai PER of 8.3x pada 1997.
Dari aspek teknikal, bulan spot baru Mac bagi kontrak hadapan KLCI diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives Bhd susut 27.5 mata, atau 3.1 peratus untuk ditutup pada 863, bertentangan dengan 4.8 mata premium Jumaat lalu berbanding 1.3 mata diskaun minggu sebelumnya, susulan aktiviti jualan pendek.
Kesimpulannya, selain penanda stochastics perlahan harian yang mencadangkan lantunan teknikal berkemungkinan berlaku minggu ini, momentum dan penanda aliran lain lebih bearis, membayangkan pembetulan ke arah aliran menurun bakal dihadapi KLCI dalam tempoh terdekat ini.
sumber: berita harian
Ulasan